Wahai diari, setelah sekian lama aku meminggirkan diri, kini aku kembali menulis ke atas setiap inci dan sentimeter helaian kertas mu ini. Walaupun aku tahu, menulis di atas tubuhmu ini mampu membuatkan seseorang itu boleh muntah secara sengaja, tidak apa, sanggup ku redahi segala onak liku ranjau duri demi memastikan nafsu, eh, perasaan dalaman aku disalurkan ke tempat yang betul.
Tapi, kalau muntah secara sengaja, batal puasa.
Menjelang bulan mulia ini, semua manusia seagama denganku telah berpuasa demi memenuhi rukun Islam. Yang ke berapa, err, kena kira pula. Namun begitu, untuk berpuasa, seseorang itu perlu bersahur supaya tidak penat atau letih atau penat untuk menjalankan tugas hakiki di siang hari nanti. Tetapi, aku secara tidak tersengaja tidak bersahur pagi tadi.
Bukannya sengaja. Hal ini semua kerana ketiadaan ayam yang perlu berkokok setiap pagi di hadapan rumahku. Mungkin telah dijadikan masak lemak untuk berbuka. Dan juga penggera henfon mahalku tidak berbunyi. Sia sia sahaja.
Tidak bersahur membuatkan aku letih dan tidak bermaya setiap detik lebih ketika menghadap tugas sebagai pelajar. Air paip di tandas dan air hujan kini dipandang umpama air bandung. Dan air bandung di kantin pula seakan memanggil dan mempelawa. Botol air rakan bukan seagama pula dipandang ibarat jag yang penuh dengan air soya campur cincau.
Ahh, dugaan.
Namun, aku tak akan mudah terpedaya dengan nafsu yang telah diturunkan ilmunya daripada tuannya yang telah diikat itu. Dan juga tuan tuan mereka yang terlepas.
Ahh, akan aku tahan nafsu, eh lapar dan dahaga hingga waktu berbuka nanti.
Mungkin lebih awal.