Jumaat, 29 Julai 2011

( tulis tajuk yang bersesuaian mengikut daya pemikiran anda, atau lebih kasar, IQ anda )

Mata yang ditahan kini bergenang. Menunggu masa untuk mengalir laju bak sungai di Gunung Kinabalu. Hendak dikatakan air mata darah, sudah tentu nanti nyamuk akan berkumpul di sekitar mata itu. Dan akan menyebabkan matanya bengkak.Sudah tak hemsem nanti, bagaimana mahu mengahwini IU, Taeyeon, Jiyeon atau Suzy ? Jadi, ia bukanlah air mata darah. Hanya air mata semata mata. Air mata dari mata semata mata.

Berlari selaju yang mungkin bagi menyelamatkan sesuatu yang pasti. Yang mampu menjadi titik persimpangan antara hidup atau mati. Berlari mengejar bilik yang kecil itu. Kecil tapi penuh kesakitan. Bilik yang penuh dengan rintihan manusia yang menyinggahinya. Sungguh banyak seksaan yang telah dihadapi mereka. Kadang kadang kedengaran suara dan kadangkala tidak kedengaran langsung bunyi yang keluar dari bilik 'neraka' itu. Mana yang lemah, akan terus berada di dalamnya. Sedangkan mereka yang kuat juga tidak diketahui nasib mereka. Sukar diagak apakah rancangannya.

Peluh yang keluar sudah banyak menitik jatuh ke Bumi. Sudah banyak seksaan yang dilalui oleh penghuninya. Perkara yang ditahan sekian lama akan tiba ke penghujungnya. Ya, kini telah tiba masanya untuk segala permasalahan ini diselesaikan secara berdepan antara satu sama lain. Walaupun ada di antara satu ini akan tewas, perasaan gentar itu tidak ada dan tidak sekelumit pun akan memberi kesan kepada pertarungan epik serta terulung ini. Yang kalah akan tetap kalah, dan yang menang akan terus berkuasa.

Namun, kuasa ini tidak boleh ditewaskan dengan mudah. Bukan boleh dihapuskan dengan hanya memetik jari kaki. Sedangkan menggunakan jari tangan pun belum mampu menghapuskan musuh nan satu ini. Ada sahaja cara dan helah yang akan digunakannya demi memastikan lebih ramai umat manusia tertewas dengannya. Manusia perlu lebih berhati hati ketika berhadapan dengannya. Mereka perlu mempunyai semangat yang kental dan fizikal yang kuat.

Mendengar namanya sahaja pun, sudah mampu membuatkan manusia bersembunyi di bawah katil ataupun bersembunyi di dalam bilik air.

Ya, aku bercakap pada kau, SAKIT PERUT.